Total Pageviews

Thursday, March 17, 2011

Takziah Kepada Nik Aziz: Peniaga Enggan Minta Maaf



14032011
“Tuan Tabal Tuan Guru,
Telok Kemang Masjid Tanah,
Jangan tabal Sultan baru,
Sial majal lah ke lubang tanah.”
Di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di bulan November 2007, sewaktu menggululung perbahasan belanjawan Kerajaan Negeri 2008, Tuan Guru Nik Aziz membaca serangkap pantun untuk menyindir UMNO Barisan Nasional khasnya, Tan Sri Panglima Annuar Musa.
“Tuan Tabal Tuan Guru, Telok Kemang Masjid Tanah, Jangan tabal Sultan baru, Sial majal ke lubang tanah.” Pantun Tok Guru mengungkap insiden di mana Annuar Musa menabalkan Sultan baru bagi Kelantan di bawah pokok ketapang di Ketereh dua dekad yang lalu.
Riuh rendahlah dewan dengan ketukan di meja oleh penyokong-penyokong kerajaan.
Beberapa bulan yang lalu, Nik Aziz membaca pemashyuran Sultan Kelantan yang baru.
Beberapa hari lalu, Tok Guru merajuk, marah dan kecewa dengan sikap wakil-wakil peniaga yang dikatakan tidak beradap dan celupar ketika berucap di majlis anjuran pihak Kerajaan Negeri. Kedua-dua wakil persatuan peniaga kecil Melayu di Kelantan itu di dalam ucapan mereka mengkritik agensi kerajaan dan wakil-wakil rakyat tertentu di bawah kepimpinan Nik Aziz berhubung isu perpindahan peniaga ke Lubar Kubur Bazar Tok Guru.
Tok Guru didalam ucapannya menegur tindakan itu sebagai tidak beradab dan memberhentikan ucapannya di dalam keadaan marah selepas hanya tidak lebih tiga minit.
Beberapa tahun yang lalu, di padang Kompleks Sekolah-Sekolah Kelantan, Nik Aziz pernah berada di kerusi peniaga, bangkit memberi ucapan di hadapan Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi.
Nik Aziz mengambil kesempatan secara tidak lebih adabnya juga bila menyelar polisi Abdullah dan melahirkan rasa tidak yakin terhadap kemampuan kerajaan Abdullah menjalankan projek ekonomi yang sudah dilancarkannya, secara terbuka.
Berdiri-diri exco-exco Kerajaan PAS Kelantan bertepuk tangan gembira walaupun dalam program Kerajaan PAS Kelantan, kita tidak dibenarkan bertepuk tangan. Tetapi tidak mengapa kerana ini program PETRONAS dan Kerajaan Pusat.
Berpantun-pantunlah Nik Aziz dengan pelbagai kiasan dan sindiran.
Abdullah menyambut Nik Aziz turun dari pentas dengan senyuman. Abdullah kemudian naik ke pentas dengan tenang dan memulakan ucapannya dengan menerima segala kritikan dengan hati terbuka. “Yang lepas biar lepas, saya datang untuk mulakan yang baru…” lebih kurang begitulah kata Abdullah.
Kalau dibandingkan diantara dua manusia ini, amat mengejutkan untuk dikatakan, Abdullah jauh lebih mulia, beradab dan bijaksana dari Nik Aziz. Amat-amat mengejutkan.
Hari ini Sinar Harian di petik melaporkan,
KOTA BHARU – “Saya tidak akan memohon maaf kepada wakil rakyat terbabit, saya hanya menceritakan semula apa yang pernah diceritakan Exco Kerajaan Negeri pada majlis Maulidur Rasul itu.”
Demikian kata Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar MPKB, Abdul Salim Ahmad, sebagai merujuk kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meminta peniaga memohon maaf secara terbuka kepada Exco Kerajaan Negeri, Anuar Tan Abdullah kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.
Abdul Salim berkata, dia tidak menyebut nama pemimpin itu dalam ucapannya danhanya mengulangi apa yang diucapkan salah seorang Exco Kerajaan Negeri dalam satu majlis di Crystal Lodge, baru-baru ini.
Menurutnya, tidak ada sebab untuk dia dan peniaga lain memohon maaf kepada pemimpin itu malah katanya, Menteri Besar yang perlu meminta maaf kepada peniaga kerana gagal memenuhi permintaan peniaga yang mahukan lot niaga luas dan lorong awam selesa di Bazar Tok guru.
“Saya minta maaf sekiranya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tersinggung, saya mahu dia mengingati janji beliau kepada peniaga sebelum pilihan raya pada 2008 untuk menyediakan lot niaga luas dan mampu milik kepada peniaga.
“Kami meluahkan apa yang terbuku di Majlis Maulidur Rasul itu selepas kerajaan Negeri gagal menyediakan ruang perbincangan mengenai Bazar Tok Guru, walaupun kami sudah membuat permohonan dengan menghantar surat kepada exco dan Menteri Besar sendiri,” katanya dalam sidang medianya, disini semalam.
Nik Aziz pada sidang medianya, Jumaat lalu, meminta peniaga terbabit memohon maaf kepada Anuar Tan kerana mengkritik secara terbuka dan peribadi semasa Majlis Maulidul Rasul sehari sebelumnya.
Dalam pada itu, Abdul Salim berkata, pihaknya menghantar resolusi kepada Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa dan Nik Aziz, pada 24 Februari tapi sehingga kini, tiada jawapan daripada kedua-dua pemimpin berkenaan.
“Rakyat perlu mendapat penjelasan mengenai kedudukan sebenar Bazar MPKB, berapa harga, untuk apa ianya dijual dan syarikat mana yang membelinya,” katanya dalam sidang media di pejabat persatuan tersebut semalam.
Sementara itu, Pengerusi Peniaga Arked Uda, Burhan Mohd Nor berkata, beliau terpaksa meluahkan perasaan pada Majlis Maulidur Rasul di Arked Uda Khamis lalu kerana susah untuk bertemu Nik Abdul Aziz.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada Husam kerana berusaha menyelesaikan masalah peniaga namun katanya, pemimpin itu dilihat hanya menumpukan kepada Uda Holdings dan bukannya kepada Bazar MPKB.
“Keperluan kami hanya 415 lot kedai, kini dia (Husam) kata ada 426 lot yang menyebabkan kami tertanya-tanya untuk siapa lebihan 11 lot itu dan penambahan itu juga menyebabkan lot semakin sempit,” katanya.
Utusan Malaysia pula melaporkan,
KOTA BHARU 13 Mac – Dua persatuan peniaga di sini enggan tunduk kepada desakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Datuk Anuar Tan Abdullah berhubung isu perpindahan 415 peniaga ke Bazar Tok Guru di sini yang mencetuskan polemik berpanjangan.
Sebaliknya, kedua-dua persatuan itu mendesak Nik Abdul Aziz supaya menunaikan terlebih dahulu janji yang dibuatnya pada 6 Mac 2008 iaitu dua hari sebelum Pilihan Raya Umum 2008.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad berkata, sepatutnya wakil rakyat dalam Parlimen Kota Bharu termasuk Anuar yang perlu memohon maaf kepara peniaga terbabit kerana mereka tidak turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata, kritikan terbuka ke atas wakil rakyat Pas itu terpaksa dilakukan bagi memastikan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di peringkat bawahan.
“Kami mahu tahu apa tugas wakil rakyat, adakah tugas mereka hanya menyelesaikan masalah rakyat dari pejabat sahaja tanpa turun ke padang? Untuk makluman sejak 2008 sehingga 2011, tiada seorang pun wakil rakyat di Parlimen Kota Bharu turun bertemu kami.
“Saya tidak akan minta maaf, tiada sebab untuk saya minta maaf. Saya kritik depan ramai, itu adalah curahan hati saya untuk tolong tok guru (Nik Abdul Aziz) dan saya minta tok guru dengar rintihan di bawah, jangan dengar Exco sangat.
“Kalau tok guru suruh saya minta maaf, lebih baik suruh Exco, Datuk Husam Musa minta maaf kepada Ahli Parlimen Kota Bharu sebab dia yang katakan Ahli Parlimen Kota Bharu tidak turun padang sebab takut. Saya ambil cerita ini daripada mulut Husam dalam mesyuarat di sebuah hotel pada 1 Februari lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jumaat lalu, ketika menyampaikan kuliah mingguannya, Nik Abdul Aziz meminta kedua-dua persatuan tersebut supaya meminta maaf secara terbuka kepada Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri kerana melakukan serangan terbuka ke atas Exco berkenaan.
Menurut Nik Abdul Aziz, tindakan kedua-dua persatuan peniaga terbabit yang melakukan serangan peribadi secara terbuka adalah berdosa dan bertentangan dengan Islam.
Ia ekoran kritikan pedas dan terbuka Abdul Salim terhadap wakil rakyat Pas yang didakwanya tidak turun padang ketika berucap pada Majlis Maulidur Rasul anjuran Urus Setia Penerangan yang turut dihadiri oleh Nik Abdul Aziz dan barisan Exconya, di tempat letak kereta Bazar Arked Uda, Khamis lalu.
Abdul Salim berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz perlu menunaikan janji yang dibuatnya iaitu menyediakan ruang niaga yang selesa kepada 415 peniaga dari Pasar Lama MPKB dan Bazar Arked UDA yang akan dipindahkan ke Bazar Tok Guru.
“Saya bagi pihak peniaga di pasar besar kalau tersinggung, saya mohon maaf kepada tok guru, tetapi saya ingin bertanya kepada tok guru adakah selesai perjanjian dia dengan peniaga Pasar Lama MPKB dan Bazar UDA semasa ucapannya dua hari sebelum pilihan raya.
“Ingat kembali apa yang dia janji kepada peniaga kecil, apakah saya perlu mohon maaf atau tok guru sendiri mohon maaf kerana saya tengok tidak ada jalan penyelesaian (bagi masalah ini),” soalnya.
Katanya, kesemua 415 peniaga di kedua-dua pasar tersebut sebulat suara tidak berpindah ke Bazar Tok Guru selagi isu keluasan ruang niaga di bazar itu tidak diselesaikan biarpun kerajaan negeri memberi notis sehingga 30 Mei ini supaya mereka berbuat demikian.
Anak Cina memetik selasih,
Anyam rotan dibuat timba;
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba (- Nik Aziz, ECER)
Benar bagai diminta Nik Aziz, bulan sudah jatuh ke ribanya. Akan hancur dan lumatlah tulang-tulangnya ditimpa bebanan tersebut. Mungkin benar bila berdoa, kita sering minta ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang solleh dan tidak pula di ajar kita berdoa supaya ditempatkan bersama-sama ulama’.
Mungkin sebab adanya ulama’ seperti Nik Aziz.

No comments:

Post a Comment