Total Pageviews

Wednesday, February 9, 2011

PBT digesa naik taraf jalan


TUMPAT - Kira-kira 2,000 penduduk daripada lima kampung di sini kurang selesa apabila terpaksa melalui jalan yang ditenggelami air saban hari berpunca daripada masalah banjir lambat surut di Kampung Kajang Sebidang.

Berikutan itu, penduduk di sini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menaik taraf jalan yang menghubungkan Kampung Teluk Jering ke Kajang Sebidang dan Palas Merah untuk keluar ke jalan utama melalui Kampung Telaga Bata kerana masalah ditenggelami air berulang saban tahun setiap kali banjir.

Walau pun musim banjir sudah berakhir, tetapi penduduk di sini masih dibelenggu jalan ditengelami air banjir sepanjang empat meter berikutan air banjir lambat surut di sini.

Penduduk dari Kampung Kajang Sebidang, Awang Seman Salleh, 41, berkata, jalan itu bukan sahaja ditenggelami air setiap kali musim banjir, bahkan pembetung air juga tidak cukup untuk mengalirkan air yang bertakung dari kawasan sawah padi.

“Jika jalan yang menghubungkan beberapa kampung ini dinaik taraf serta menyediakan lebih banyak pembetung air, rasanya kejadian banjir lambat surut pasti tidak akan berlaku.

“Kami di sini sudah bertahun-tahun berdepan kesukaran untuk keluar ke jalan utama kerana masalah air yang menenggelamkan jalan di Jalan Kampung Kajang Sebidang serta jalan untuk ke Kampung Palas Merah,” katanya. 



Warga emas, Abdul Rahman Isa, 70, berkata, berikutan jalan terbabit yang sering dinaiki air, dia berharap jalan itu dapat dinaik taraf dan ditinggikan kira-kira 1 meter daripada asal.

“Selalunya banjir yang melanda kampung ini mengambil masa berminggu-minggu untuk pulih sepenuhnya, memandangkan jalan itu berada di kawasan rendah, ia masih lagi ditenggelami air banjir.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menaik taraf jalan ini kepada ketinggian 1 meter bagi membolehkannya dilalui penduduk untuk keluar ke jalan utama,” katanya.


Ahli Jawatankuasa (AJK) Kampung Kajang Sebidang, Mat Isa Bulat, 47, berkata, jalan itu penting kepada penduduk Kampung Kajang Sebidang dan Teluk Jering kerana ia laluan utama pelajar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat dan Sekolah Kebangsaan Teluk Jering.

“Air yang lambat surut dan menenggelamkan jalan itu, menyebabkan ramai yang tidak dapat keluar. Pelajar sekolah tidak dapat ke sekolah kerana tidak mahu meredah air setinggi 0.5 meter. 

Artikel di Petik dari Sinar Harian 10 Feb 2011 (Edisi Kelantan-Tumpat)

1 comment: